w3LcOmE tO My pAg3

Thursday 17 February 2011

Sesungguhnya jauh itu Menambah rindu..

“Sesungguhnya jauh itu menambah rindu”. Teringat saat pertama kali melangkah kaki ke sekolah menengah berasrama suatu ketika dahulu. Semangat ingin menjejakkan kaki ke sekolah berasrama terlalu membuak-membuak. Apatah lagi dua orang abangku sudah merintis jalan ke arah itu. Sesuatu yang amat dinantikan, lebih-lebih lagi saat berdepan sistem hidup yang baru dan keluarga yang baru yang pastinya menjanjikan suasana kehidupan yang baru. Serba-serbinya tampak baru.
Selaku batch pertama pelajar tingkatan satu setelah beberapa tahun pengambilan tingkatan 1 dihentikan ia seakan satu penghargaan dan keistimewaan kepada kami. Diterima masuk ke SMKA Kota Kinabalu merupakan satu anugerah yang terlalu berharga bagi warga Sabah atas status antara sekolah terbaik di negeri bawah bayu. Sekolah yang bertapak di tapak bekas Universiti Kebangsaan Malaysia itu pastinya membawa terlalu banyak memori kepada setiap warganya, daripada pendidik, pelajar sampailah kepada pekerja2 am dan dewan makan. Ya, emba dewan makan pasti akan dirindui walaupun nasi kadang2 keras dan lauk pauk kadang2 jemu mata memandang. Begitu juga kuih bingka yang boleh di tapau balik ke asrama kerana tak laku. Tapi itulah antara keistimewaan hidup dalam keluarga ini, kebahagiaan dalam kekurangan kata pujangga.

Berpisah sementara dengan keluarga di rumah tidaklah sesukar mana bagi mereka yang telah dilatih untuk hidup berdikari dan bagi yang terbiasa, namun bagi yang baru bertatih hidup dalam dunia baru ini ia pastinya suatu tamparan maha hebat yang mampu menggugah hati. Hidup berasarama terasa asing apatah lagi dengan muka2 dan ragam2 baru yang terpaksa ditempuhi. Dengan senior yang selalu minta tolong itu dan ini, kepayahan bangun di awal pagi, hidup dengan jadual yang ketat dan pakaian yang kadang2 dibasuh dan kadang2 dilonggok sampai minggu berikutnya disebabkan ketiadaan air membuatkan ramai yang tertewas dalam perjuangan hidup berasrama. Sudahnya, ada yang tercongok di depan pejabat am minta untuk berpindah sekolah. Kes terpencil dalam suasana yang besar. Tapi kejauhan itulah yang mengajar manusia menjadi hebat. Sesungguhnya jauh itu menambah rindu!

Masa terlalu pantas berlalu, seakan baru semalam rasanya menapak bersama rakan seperjuangan berhimpun di dataran pada waktu pagi mendengar amanat dan arahan daripada guru. Rasanya baru semalam juga ramai di denda berjalan ala2 itik di court bola tampar yang tapaknya sudah bertukar menjadi surau yang baru kerana terlewat subuh berjemaah. Dan baru semalam rasanya mengejar babi2 dari Kg Sukang yang tersesat masuk ke kawasan sekolah mencari makanan. Realitinya semua itu hanya tinggal kenangan yang mungkin terpahat kukuh dalam memori. Kenangan yang mengajar hidup di masa depan yang diraih daripada hidup berasrama. Kejauhan yang menambah rencah dalam kehidupan Sungguh! Jauh itu menambah rindu…


No comments:

Post a Comment